Kamu tahu 16 Mei ? Kalau tak tahu, sah kamu tidak mendalami budaya menyambut hari tertentu di Malaysia. Ya, ada Hari Ibu, Hari Bapa, Hari Pekerja, Hari Kekasih, jualan murah di Gudang Hari-hari dan bermacam lagi hari. Dan seperti kebiasaan, sebagai murid yang patuh dengan dogma dan norma, kamu akan cuba menghadiahkan sesuatu buat guru kamu. Ya kan ? Dan mungkin ada di antara kamu yang pening serta keliru nak bagi hadiah apa kepada guru yang tercinta. Jangan risau, di sini ada beberapa contoh barangan yang boleh kamu berikan. Susunan adalah secara rawak dan bukan mengikut harga pasaran, jadi jangan risau dan teruskan pembacaan kamu.
Hadiah di Hari Guru :
1. Kad ucapan. Ya, memang kamu akan anggap seperti biasa tetapi kad ucapan yang aku cadangkan adalah berbeza dengan apa yang pernah kamu berikan. Kad ucapan ini akan mengandungi kata-kata ucapan dan juga pelbagai jenis kad lain di dalamnya. Antaranya termasuklah kad ucapan perayaan lengkap di Malaysia iaitu Hari Raya, Tahun Baru Cina, Deepavali, Pesta Keaamatan, Gawai Dayak dan (sila isi dengan perayaan lain). Jimat masa, tenaga dan duit. Selain itu, kad topup juga digalakkan dan pastikan kamu belikan kad topup yang betul. Mana mungkin guru kamu menopup Maxis Rm 50 jika beliau pengguna U Mobile. Fahamkan ?
2. Makanan. Ya, makanan istimewa di sini bukan bermaksud makanan kantin atau makanan mak cik penjaja luar sekolah. Kamu mahu guru kamu sakit perut ? atau mengalami obesiti kerana makan nasi lemak kantin ? Jadi pastikan pemilihan makanan kamu merangkumi makanan kegemaran guru kamu. Antara yang disyorkan adalah seperti Kenny Roger Roasted Chicken, Teppanyaki ( pastikan Salmon dari Laut Pasifik ), Pizza Hut dengan topping yang pelbagai, ulam-ulaman eksotik dan lain-lain lagi makanan kegemaran mereka. Walaubagaimanapun jangan hadiahkan semasa rehat kerana dikhuatiri guru lain akan mengepaw makanan itu.
3. Bunga.Ya, jangan kata guru lelaki tidak berminat dengan bunga. Cuba selidik, ramai yang berminat dengan Bunga Cinta Lestari. Pemilihan bunga yang sesuai amat dititiberatkan dalam hal ini dan sila ambil perhatian, bunga segar tidak digalakkan kecuali kamu mampu berikan bunga segar dengan pakej lengkap berupa pasu, penyiram, baja dan seorang penjaga bunga. Jika tidak, bunga plastik di dalam pasu sudah memadai. Jangan membazir jika kamu tahu guru kamu bukan pekebun tegar. Dan jika ada di antara kamu yang cukup manis, bolehlah hadiahkan guru kamu dengan gambar bunga yang dicetak dan ditandatangani dengan ciuman kamu.
4. Pakaian. Ya, pakaian yang rare. Sila ambil perhatian, rare di sini bukan bermaksud baju Polo bernombor dengan kolar terangkat, skaf berbunga-bunga besar, tudung dengan batu permata pelbagai jenama atau (sila isi dengan pakaian yang biasa kamu lihat). Rare di sini lebih merujuk kepada pakaian yang sukar di peroleh seperti jersi Manchester United era George Best, baju bertulisan yang cool (baju "Saya Sayang Mak Saya" tidak di kira cool), baju bundle era Hippies, selendang Bohemian, seluar corak askar dan lebih elok lagi baju yang kamu sendiri cetak dengan tulisan "Saya Guru, Saya Ok", Jika guru kamu memakai pakaian seperti ini, kemungkinan besar guru besar atau pengetua sekolah kamu akan berasa cemburu.
5. Gadget. Dan jika kamu anak Datuk, anak Dato, anak Tan Sri, atau anak sesiapa sahaja yang mampu menggeluarkan belanja tanpa banyak soal, maka Ipad 2, PSP3 dan pelbagai gadget canggih boleh dijadikan pilihan hadiah. Jika kamu seperti aku, anak orang kebanyakkan tapi berhati mulia ehemm. Maka dengan berbekalkan CD kosong, bakarlah lagu kegemaran guru kamu. Ya, aku tahu kamu mungkin tidak tahu muzik kegemarannya, jadi aku cadangkan pada awal tahun, kamu jalankan kaji selidik. Jika kamu berjiwa seni muzik, rakamkan lagu khas untuk guru kamu. Bukan lagu Kami Guru Malaysia, tetapi lagu dengan lirik dan melodi kamu sendiri. Eh, CD juga gadget kan ?
6. Lukisan. Ya, lukisan potret guru kamu sebaik-baiknya. Mana mungkin kamu berikan potret Perdana Menteri kita kepada guru kamu. Mana tahu dia anti kerajaan. Di buatnya potret itu tempat bermain dart. Dan jika kamu tidak pandai melukis, usah risau. Gunakan pelukis jalanan di Bukit Bintang atau di tempat kamu. Pasti ada yang sudi menolong kamu. Sila bingkaikan potret tersebut. Kamu belum cukup matang untuk menyerahkan hadiah potret dalam bentuk galeri seni. Harus di ingatkan, pilihlah gambar potret yang menunjukkan sisi macho atau comel guru kamu. Biar mereka perasan hebat di Hari Guru.
Ini merupakan sedikit sebanyak hadiah yang boleh kamu berikan kepada guru kamu. Aku pernah hadiahkan kek gulung kepada guru semasa di sekolah menengah dan kek tersebut di makan bersama. Oh, di sekolah menengah dulu semasa jamuan, ada dua meja. Yang halal dan tidak halal. Menarik bukan ?
Selamat Hari Guru 2011 kepada kamu, kamu dan kamu.
Guru Penjana Tranformasi Pendidikan Negara. Itu kata mereka. Kata aku, guru pembentuk insan berguna.
Dan pengalaman adalah guru terbaik. Jangan malu belajar daripadanya.
No comments:
Post a Comment