"Ini bukan pistol biasa, bukan peluru biasa dan bukan kuda biasa"
Showing posts with label Jika Aku Seorang. Show all posts
Showing posts with label Jika Aku Seorang. Show all posts

Sunday, May 15, 2011

Jika aku seorang Harry Potter

Ya, jika aku seorang Harry Potter di bumi Malaysia, aku akan...

1. Membuka sekolah untuk golongan terpilih dan golongan memilih. Ya, memang banyak sekolah di Malaysia tapi adakah mereka menyediakan pendidikan magis ? Ada yang menjadikan magis sebagai subjek major ? Ada ? Oleh itu aku akan jadi pelopor kepada Sekolah Magis Malaysia. Pendidikan magis akan mendedahkan mereka kepada subjek ilmu magis yang paling asas iaitu menipu. Jika kamu seorang jujur dan tidak mampu menipu, sekolah ini bukan untuk kamu. Dan tidak ada ilmu hitam diajar kelak. Ini bukan sekolah untuk mendapatkan sijil bomoh atau pawang.

2. Mengkomersialkan Kejohanan The Triwizard, iaitu kejohanan magis di antara Sekolah Magis Malaysia (SMM. Selama ini hanya kejohanan sukan dan akademik sahaja yang dititikberat oleh kerajaan dan rakyat marhaen. Kini dengan wujudnya Kejohanan The Triwizard, rakyat boleh membuat pilihan alternatif yang lebih bijak. Pasukan yang menang akan diberi hadiah berupa seekor naga, maksud aku sebuah piala naga dan sedikit insentif hasil potongan cukai kamu semua. Dan paling menarik, kejohanan ini akan diadakan pada hari Sabtu dan Ahad bertujuan untuk menghalang kamu semua menonton Akademik Pantasi dan Mentol.

3. Menulis buku-buku motivasi. Ya, motivasi untuk kamu yang cuba lari dari rumah, cuba bunuh diri, cuba bunuh orang di sekeliling kamu,, cuba segala-galanya yang kamu mahu. Adakah buku ini akan cuba menasihati kamu ? Tidak. Buku ini akan cuba mengajar kamu membuat sesuatu dengan bijak dan teratur. Jika mahu menjadi pembunuh, jangan jadi amatur. Contohi Lord Voldemort. Motivasi buku ini akan mencungkil bakat semula jadi kamu. Dengan pengaruh yang ada pada aku, kamu akan dipengaruhi kuasa magis buku ini. Jangan risau, tiada Anthrax disertakan. Asalkan pandai membaca dan pandai menipu.

4. Menyediakan sistem pengangkutan awam yang berkesan. Maksud berkesan di sini, jika pukul 5 pagi, maka pukul 5 pagi. Bukan 5 tengah hari seperti di Malaysia. Dan akan ada koc untuk ahli magis. Khas disediakan untuk mereka. Kalau wanita ada koc sendiri, maka golongan kami pun ada. Kamu tak mahukan, berdiri di sebelah ahli sihir yang membawa naga belaannya. Atau duduk di sebelah wanita yang boleh menghilangkan dirinya dan kemudian muncul semula dengan pedang dan tikus makmal. Tapi kalau kamu gemar menipu dan tidak jujur, itu sudah mencukupi syarat asas tadi, maka sila ke koc ahli magis.

5. Menjadi pembuat perabot. Kenapa ? Kerana pemilihan perabot rakyat Malaysia hampir sama seperti di Hogwarts. Maka, aku dapat lihat keperluan untuk berbakti kepada mereka. Kebanyakannya sering ditipu oleh ahli perniagaan perabot. Bagaimana ? Dengan menjual perabot yang tidak bermutu dan mendakwa kayu yang digunakan adalah dari jenis yang terbaik. Hal ini dapat diatasi dengan kewujudan Kedai Perabot Harry Potter. Saki baki kayu yang digunakan untuk membuat tongkat sakti ahli sihir akan dijadikan perabot di rumah kamu. Menarik bukan ? Sila datang ke show room kami sementara stok masih ada.

Ya, jika aku seorang Harry Potter, aku tak perlu menaip sendiri entri ini...

Jika aku seorang Thor

Ya, jika aku seorang Thor di muka bumi Malaysia, aku akan..

1. Membuat jadual cuaca yang tepat. Ya, mungkin kamu pernah terjebak dengan penipuan pihak kaji cuaca. Andaikan kamu ingin pergi berkelah, dan dengan yakin kamu percaya dengan sumber yang dikeluarkan oleh pihak kaji cuaca. Rupa-rupanya semasa menyusun sandwich dan makanan tin lain di atas alas, bunyi guruh dan titisan air hujan turut mengiringi kamu.Sakit hati ? Mungkin. Jadi dengan jadual cuaca yang tepat, aku akan memastikan hujan turun setiap Isnin. Kenapa Isnin ? Untuk mengurangkan Monday Blues. Hari lain ? Akan aku fikirkan kemudian jika rakyat Malaysia setuju dengan cadangan ini.

2. Menjana elektrik menggunakan tenaga dari alam semula jadi. Ini adalah impian setiap aktivis alam semula jadi. Secara tidak langsung, ini boleh menggurangkan pencemaran alam sekitar seperti pencerobohan kawasan hutan dan sebagainya. Dengan Mjolnir yang dianugerahkan Odin kepadaku, hayunannya akan menghasilkan kilat yang akan kemudiannya menghentam panel-panel besi yang seterusnya akan ditukarkan kepada tenaga elektrik. Tenaga itu kemudiannya akan mengalami proses penukaran err..Faham ? Aku Thor, jadi tak perlu terangkan proses penukaran tenaga kilat ke tenaga elektrik.

3. Mengilat penjenayah siber. Oh, apa dia mengilat ? Mengilat itu merupakan perbuatan memanah kilat kepada seseorang. Kenapa penjenayah siber ? Kerana akta yang ada jarang dilaksanaakan. Aku akan mengilat blogger yang merimaskan. Aku akan mengilat pengefesbuk yang tegar. Aku akan mengilat pengetwitter tegar. Tapi aku akan lepaskan hacker kerana mereka membuktikan kelemahan sesuatu sistem keselamatan terutama sistem kerajaan. Alangkah baik kalau mereka dapat hack kekorupannya sekali. Jadi dengan mengilat mereka, aku akan mengurangkan jumlah ancaman kepada manusia sejagat.

4. Mengeluarkan baju zirah besi yang berkesan. Ya, penggunaan baju zirah besi amat penting dalam perang. Kebanyakkan baju kalis peluru di bumi Malayisa kurang sesuai digunakan apabila berperang dengan mahluk gergasi Ais dari Jotenheim. Dan bayangkan jika Destroyer turun ke Jalan T.A.R di Kolumpo. Habis hangus kain-kain import di situ. Jadi dengan menjual baju zirah besi, jika diserang dengan api dan ais sekalipun masih tetap gagah. Berat ? Kamu perlu latihan latih tubi. Jangan malas.

5. Menjadi agen pelancongan. Aku akan membuat Jambatan Pelangi dan Pintu Bitfrost versi Malaysia. Al maklumlah rakyat Malaysia suka memalaysiakan sesuatu yang asing. Banyak jambatan di Putrajaya akan ditukarkan menjadi kawasan ketibaan delegasi dari alam lain. Mereka yang berkemampuan pula akan dibawa melancong ke Asgard. Biar mahluk lain di seluruh angkasa sedar akan kewujudan kamu mahluk bumi. Bulan madu kini tidak hanya secara literasi kerana kamu berpeluang melawat bulan semasa bermadu kasih.

Ya, jika aku seorang Thor. Aku tak akan mengarut di sini.