Ya, jika aku seorang Harry Potter di bumi Malaysia, aku akan...
1. Membuka sekolah untuk golongan terpilih dan golongan memilih. Ya, memang banyak sekolah di Malaysia tapi adakah mereka menyediakan pendidikan magis ? Ada yang menjadikan magis sebagai subjek major ? Ada ? Oleh itu aku akan jadi pelopor kepada Sekolah Magis Malaysia. Pendidikan magis akan mendedahkan mereka kepada subjek ilmu magis yang paling asas iaitu menipu. Jika kamu seorang jujur dan tidak mampu menipu, sekolah ini bukan untuk kamu. Dan tidak ada ilmu hitam diajar kelak. Ini bukan sekolah untuk mendapatkan sijil bomoh atau pawang.
2. Mengkomersialkan Kejohanan The Triwizard, iaitu kejohanan magis di antara Sekolah Magis Malaysia (SMM. Selama ini hanya kejohanan sukan dan akademik sahaja yang dititikberat oleh kerajaan dan rakyat marhaen. Kini dengan wujudnya Kejohanan The Triwizard, rakyat boleh membuat pilihan alternatif yang lebih bijak. Pasukan yang menang akan diberi hadiah berupa seekor naga, maksud aku sebuah piala naga dan sedikit insentif hasil potongan cukai kamu semua. Dan paling menarik, kejohanan ini akan diadakan pada hari Sabtu dan Ahad bertujuan untuk menghalang kamu semua menonton Akademik Pantasi dan Mentol.
3. Menulis buku-buku motivasi. Ya, motivasi untuk kamu yang cuba lari dari rumah, cuba bunuh diri, cuba bunuh orang di sekeliling kamu,, cuba segala-galanya yang kamu mahu. Adakah buku ini akan cuba menasihati kamu ? Tidak. Buku ini akan cuba mengajar kamu membuat sesuatu dengan bijak dan teratur. Jika mahu menjadi pembunuh, jangan jadi amatur. Contohi Lord Voldemort. Motivasi buku ini akan mencungkil bakat semula jadi kamu. Dengan pengaruh yang ada pada aku, kamu akan dipengaruhi kuasa magis buku ini. Jangan risau, tiada Anthrax disertakan. Asalkan pandai membaca dan pandai menipu.
4. Menyediakan sistem pengangkutan awam yang berkesan. Maksud berkesan di sini, jika pukul 5 pagi, maka pukul 5 pagi. Bukan 5 tengah hari seperti di Malaysia. Dan akan ada koc untuk ahli magis. Khas disediakan untuk mereka. Kalau wanita ada koc sendiri, maka golongan kami pun ada. Kamu tak mahukan, berdiri di sebelah ahli sihir yang membawa naga belaannya. Atau duduk di sebelah wanita yang boleh menghilangkan dirinya dan kemudian muncul semula dengan pedang dan tikus makmal. Tapi kalau kamu gemar menipu dan tidak jujur, itu sudah mencukupi syarat asas tadi, maka sila ke koc ahli magis.
5. Menjadi pembuat perabot. Kenapa ? Kerana pemilihan perabot rakyat Malaysia hampir sama seperti di Hogwarts. Maka, aku dapat lihat keperluan untuk berbakti kepada mereka. Kebanyakannya sering ditipu oleh ahli perniagaan perabot. Bagaimana ? Dengan menjual perabot yang tidak bermutu dan mendakwa kayu yang digunakan adalah dari jenis yang terbaik. Hal ini dapat diatasi dengan kewujudan Kedai Perabot Harry Potter. Saki baki kayu yang digunakan untuk membuat tongkat sakti ahli sihir akan dijadikan perabot di rumah kamu. Menarik bukan ? Sila datang ke show room kami sementara stok masih ada.
Ya, jika aku seorang Harry Potter, aku tak perlu menaip sendiri entri ini...
No comments:
Post a Comment