Panggg !
Bunyi tamparan yang kuat bergema di seluruh rumah itu. Kelihatan seorang wanita bertopeng hoki ais ala Jason Vorhees, berbaju hitam berseluar panjang spandex sedang membelasah seorang lelaki yang diikat pada kerusi. Matanya kemerahan seperti menahan kemarahan. Dendam sudah hampir dibalas.
Sebulan yang lepas.
"Minta maaf cik, kami tak dapat selamatkan wajah cik"
Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa luruhnya hati Maddie apabila mendengar perkhabaran itu. Hanya tinggal seminggu sahaja lagi sebelum dia menjalani temuduga di sebuah salun kecantikan di ibu kota. Dan kecelakaan yang menimpanya telah menutup peluangnya sama sekali.
Dia yang masih mengalami trauma kemudiannya cuba mengingati apa yang telah berlaku. Perit, pedis dan panas. Itulah rasa yang segar dalam ingatannya. Dan kemudian semuanya menjadi jelas apabila dia terpandang surat khabar sensasi negara di bucu katil. Terpampang di tajuk utamanya
" Seorang gadis bersepatu tinggi disimbah asid di ibu kota"
Masa kini.
Setelah berminggu-minggu berusaha, Maddie berjaya mengenalpasti lelaki yang bertanggungjawab mencelakakan hidupnya. Dan kini lelaki itu berada dalam tahanannya. Di sebuah rumah di kaki bukit di pinggir kota. Tempat yang sesuai sekali untuk...menyeksa mangsanya.
Dengan menggunakan asid klorik yang dirembat dari kebuk wasap di sebuah sekolah menengah Sains, dia mula menitiskan setitik demi setitik cecair kimia tersebut pada wajah lelaki itu. Hanya jeritan dan ketawa yang kedengaran. Puas hatinya.
Hutang darah dibayar darah.
Nota Ringkas :
Kepada mangsa simbahan asid di seluruh dunia, tabahlah.
No comments:
Post a Comment