"Ini bukan pistol biasa, bukan peluru biasa dan bukan kuda biasa"
Showing posts with label Kisah Resah. Show all posts
Showing posts with label Kisah Resah. Show all posts

Friday, July 15, 2011

Bulat

Semakin tegang. Itu yang dilaporkan oleh pemberita TV pro Mendoza. Akan berlaku keganasan. 

Potong kepala, tikam dada, bakar kereta, pecah dinding, curi selipar dan bermacam lagi keganasan domestik.

Pelbagai kenyataan dikeluarkan oleh pihak pro Mendoza. Semuanya demi menjaga kemuliaan dan kedaulatan Mendoza. Ketua pemimpin yang korup di wilayah bergolak Mayo .

Dan lawannya, gabungan rakyat tertekan, diketuai oleh Razio, seorang pengusaha ladang popi, sedang bersiap-siap menuai hasil ladangnya sebelum dirampas oleh Mendoza. Razio dan sekutunya sudah merancang untuk berkumpul di hadapan rumah agam Mendoza di tengah kota. Berkumpul untuk menuntut hak mereka. Hak menyimpan dan menjual hasil tuaian ke wilayah lain. Mana mungkin membeli pakaian dan makanan dengan saling berbarterkan popi.

Dan Mendoza semakin terdesak untuk mempertahankan dirinya. Askar upahan dari Afrika Barat diarahkan berkawal 24 jam.

Dan jika gerombolan Razio menceroboh masuk ke rumah agamnya, askar upahan akan menghapuskan kumpulan itu. Jangan ambil risiko. Itu pesan ayahanda Mendoza dahulu sebelum beliau ditembak oleh pengiring peribadinya sendiri.

* * * * *

Razio dan beribu anak muda yang gagah berjalan dari ladang mereka menuju ke rumah agam Mendoza. Bunyi laungan menuntut hak mereka semakin kedengaran. Namun langkah mereka terhenti seketika apabila dihalang oleh barisan pertama askar upahan Mendoza. Dan dengan semudah membayar upah yang lebih mahal daripada jumlah yang ditawarkan oleh Mendoza, gerombolan Razio dapat menembusi barisan pertama dengan mudah. Dasar askar upahan yang setia pada duit.

Di dalam kamarnya, Mendoza semakin resah gelisah bagai dubuk diikat mulutnya. Gawat dong bilang orang Indonesia. Rumah agamnya sudah dikepung oleh kumpulan penentang. Hanya rundingan akan menyelamatkan punggungnya daripada dikerjakan oleh kumpulan itu. Dan rundingan itu semestinya akan merugikan dirinya.

Jeritan Razio mengejutkan lamunannya. 

Celaka, mana pergi askar upahan aku. Mendoza mencarut sendirian sambil menjeling ke luar tingkap. Di hadapan rumahnya kini dipenuhi dengan manusia yang membawa penumbuk.

* * * * *

Mendoza hilang entah kemana. Ada yang kata dia bersenang lenang di hujung dunia. Ada yang kata dia bercuti di angkasa. Ada yang kata dia hidup merempat di wilayah musuh.

Dan kumpulan pekerja anak muda yang diketuai oleh Sergio sudah siap sedia untuk bangkit menentang ketua pemimpin korup, Razio.

Mana mungkin hidup berbarterkan popi.



Tuesday, May 17, 2011

Lurus

Dub..dub..dub..

Bunyi jantung mengepam darah semakin kencang. Sang puteri resah bagai menunggu suatu yang tidak kunjung tiba. 

Benar kata masyarakat, penantian itu satu hukuman tanpa rela.

Tiba - tiba dia terdengar bunyi kuda nun jauh di hujung kota diselangi bunyi roda aloi pedati yang bingit menghentam tanah. Wajahnya kembali riang, senyum dan tersengih. Penantiannya hampir berakhir. Dan pedati itu berhenti tepat di depan sang puteri. Tergamam sang puteri melihat kuda putih yang bertanduk satu. Bukan calang-calang baka kuda yang digunakan, melainkan baka raja kuda Unikorn yang dikatakan tinjanya adalah pelangi. Mewah, getus sang puteri.

Romeo take me somewhere, we can be alone.
I'll be waiting; all there's left to do is run.
You'll be the prince and I'll be the princess,
It's a love story, baby, just say yes.


Lagu Kisah Cinta dendangan anak gadis dari Pennsylvania itu kedengaran sayup-sayup apabila pintu pedati dibuka. Sang puteri tersenyum lagi, nampaknya putera impiannya turut meminati lagu yang sama. Jodoh mungkin.

Dua belas minggu yang lepas.

"Anakanda akan dikahwinkan dengan Putera Willyam dari Tanah Putih dan itu adalah muktamad" tenang sahaja Raja Tanah Merah menggucapkan bait-bait keramat itu.

Sang puteri dapat merasakan kehidupan yang diimpikannya sebelum ini akan lenyap. Ya, walaupun dia seorang puteri, dan mendapat segala-galanya, masih ada sedikit impian di lubuk hatinya. Dan perkahwinan dengan Putera Willyam akan merencatkan segalanya. Putera kasanova yang memiliki beratus-ratus bar, kasino dan padang lumba kuda. Amat bertentangan dengan dirinya. Umpama durian dan air berkarbonat.

Sang puteri pasrah memandangkan dia tidak diajar untuk derhaka kepada raja. Alangkah senangnya kalau dia sempat membeli buku Penderhaka untuk Dummies. Dalam kepasrahan itu, dia melayari fesbuk dengan harapan dapat mengubat hati lara. Dan ketika itulah dia terstalk fesbuk seorang manusia bernama Putera Kayangan. Jarinya pantas mengerakkan cursor tetikus ke arah butang Add as friends.

Dan bermula kisah cinta larangan antara sang puteri dan Putera Kayangan di alam maya.

Masa kini.

Mata sang puteri berair. Degupan jantung tidak sekata. Bibirnya diketap menahan geram. Dan buku lima sudah dikepalkan.

Lahanat ! Celaka ! Gampang !

Jeritan itu memecah kesunyian malam muda.

" Aku rela menjadi andartu daripada dikecewakan begini "

Sang puteri beredar semula memasuki kota emas ayahandanya sambil mencarut dalam bahasa wanita, meninggalkan Putera Kayangan yang berbengkung di dada, dengan potongan rambut ala Justin Bibir dan topi ala Bruno Marikh.

" Buang masa. Mana mungkin aku tidur sekamar dengan perempuan itu "




Monday, May 16, 2011

Bara

Panggg !

Bunyi tamparan yang kuat bergema di seluruh rumah itu. Kelihatan seorang wanita bertopeng hoki ais ala Jason Vorhees, berbaju hitam berseluar panjang spandex sedang membelasah seorang lelaki yang diikat pada kerusi. Matanya kemerahan seperti menahan kemarahan. Dendam sudah hampir dibalas.

Sebulan yang lepas.

"Minta maaf cik, kami tak dapat selamatkan wajah cik"

Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa luruhnya hati Maddie apabila mendengar perkhabaran itu. Hanya tinggal seminggu sahaja lagi sebelum dia menjalani temuduga di sebuah salun kecantikan di ibu kota. Dan kecelakaan yang menimpanya telah menutup peluangnya sama sekali.

Dia yang masih mengalami trauma kemudiannya cuba mengingati apa yang telah berlaku. Perit, pedis dan panas. Itulah rasa yang segar dalam ingatannya. Dan kemudian semuanya menjadi jelas apabila dia terpandang surat khabar sensasi negara di bucu katil. Terpampang di tajuk utamanya 

" Seorang gadis bersepatu tinggi disimbah asid di ibu kota"

Masa kini.

Setelah berminggu-minggu berusaha, Maddie berjaya mengenalpasti lelaki yang bertanggungjawab mencelakakan hidupnya. Dan kini lelaki itu berada dalam tahanannya. Di sebuah rumah di kaki bukit di pinggir kota. Tempat yang sesuai sekali untuk...menyeksa mangsanya.

Dengan menggunakan asid klorik yang dirembat dari kebuk wasap di sebuah sekolah menengah Sains, dia mula menitiskan setitik demi setitik cecair kimia tersebut pada wajah lelaki itu. Hanya jeritan dan ketawa yang kedengaran. Puas hatinya.

Hutang darah dibayar darah.



Nota Ringkas : 

Kepada mangsa simbahan asid di seluruh dunia, tabahlah.