Semakin tegang. Itu yang dilaporkan oleh pemberita TV pro Mendoza. Akan berlaku keganasan.
Potong kepala, tikam dada, bakar kereta, pecah dinding, curi selipar dan bermacam lagi keganasan domestik.
Pelbagai kenyataan dikeluarkan oleh pihak pro Mendoza. Semuanya demi menjaga kemuliaan dan kedaulatan Mendoza. Ketua pemimpin yang korup di wilayah bergolak Mayo .
Dan lawannya, gabungan rakyat tertekan, diketuai oleh Razio, seorang pengusaha ladang popi, sedang bersiap-siap menuai hasil ladangnya sebelum dirampas oleh Mendoza. Razio dan sekutunya sudah merancang untuk berkumpul di hadapan rumah agam Mendoza di tengah kota. Berkumpul untuk menuntut hak mereka. Hak menyimpan dan menjual hasil tuaian ke wilayah lain. Mana mungkin membeli pakaian dan makanan dengan saling berbarterkan popi.
Dan Mendoza semakin terdesak untuk mempertahankan dirinya. Askar upahan dari Afrika Barat diarahkan berkawal 24 jam.
Dan jika gerombolan Razio menceroboh masuk ke rumah agamnya, askar upahan akan menghapuskan kumpulan itu. Jangan ambil risiko. Itu pesan ayahanda Mendoza dahulu sebelum beliau ditembak oleh pengiring peribadinya sendiri.
* * * * *
Razio dan beribu anak muda yang gagah berjalan dari ladang mereka menuju ke rumah agam Mendoza. Bunyi laungan menuntut hak mereka semakin kedengaran. Namun langkah mereka terhenti seketika apabila dihalang oleh barisan pertama askar upahan Mendoza. Dan dengan semudah membayar upah yang lebih mahal daripada jumlah yang ditawarkan oleh Mendoza, gerombolan Razio dapat menembusi barisan pertama dengan mudah. Dasar askar upahan yang setia pada duit.
Di dalam kamarnya, Mendoza semakin resah gelisah bagai dubuk diikat mulutnya. Gawat dong bilang orang Indonesia. Rumah agamnya sudah dikepung oleh kumpulan penentang. Hanya rundingan akan menyelamatkan punggungnya daripada dikerjakan oleh kumpulan itu. Dan rundingan itu semestinya akan merugikan dirinya.
Jeritan Razio mengejutkan lamunannya.
Celaka, mana pergi askar upahan aku. Mendoza mencarut sendirian sambil menjeling ke luar tingkap. Di hadapan rumahnya kini dipenuhi dengan manusia yang membawa penumbuk.
* * * * *
Mendoza hilang entah kemana. Ada yang kata dia bersenang lenang di hujung dunia. Ada yang kata dia bercuti di angkasa. Ada yang kata dia hidup merempat di wilayah musuh.
Dan kumpulan pekerja anak muda yang diketuai oleh Sergio sudah siap sedia untuk bangkit menentang ketua pemimpin korup, Razio.
Mana mungkin hidup berbarterkan popi.
No comments:
Post a Comment